Rentak & Irama

Melayu kaya dengan iramanya yang disulam dalam pelbagai acara dan persembahan. Paluan kompang dalam majlis-majlis Perkahwinan, sambutan Maulud Nabi saw dan sebagai iringan persembahan nasyid dan sebagainya. Gendang dan serunai pula disulam dalam persembahan seni silat, persembahan wayang kulit dan pelbagai lagi. 

Inilah dunia Melayu yang kaya dengan budaya berirama, ada yang berasal dari bangsa ini sendiri dan ada yang diadaptasikan menjadi amalan budaya Melayu sejak zaman nenek moyang kita ribuan tahun dahulu. Apa pun, semua itu sudah menjadi budaya yang tidak dapat diasingkan dengan bangsa kita ini. Satu bangsa yang kaya dengan adat dan adab yang tersusun rapi dan penuh dengan seninya.

Irama Kompang, Gengang Silat, Nobat, Gamelan, Gambus dan lainnya, seharus terus dikekalkan dalam jiwa anak-anak Melayu kita agar bangsa Melayu itu benar Melayunya.

KOMPANG

Latihan kompang ahli-ahli WarisAlam di bawah program
'Sireh Pulang ke Gagang' Semangat 7
Paluan irama kompang pada hari ini masih popular bagi masyarakat Melayu. Kompang termasuk dalam alat muzik gendang yang biasanya diperbuat daripada kulit kambing betina, akan tetapi pada akhir-akhir ini kulitnya diperbuat dari kulit lembu atau kerbau sahaja.

Alat muzik ini dikatakan berasal dari Timur Tengah, Parsi dan di bawa oleh para pendagang Arab sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, namun asal usul kompang ini masih dalam kajian dan tidak dapat dipastikan secara jelas dari mana dan bila datang ke seluruh bumi Melayu.

Pada hari ini kompang masih kekal dipalu dalam majlis-majlis masyarakat Melayu. Masih terdapat di sana sini dipelajari oleh anak-anak muda walaupun tidak secara menyeluruh seperti zaman-zaman dahulu. Pada masa dahulu sebelum tahun-tahun 60an, boleh dikatakan di setiap pelusuk kampung ada kumpulan kompangnya sendiri dan ada guru atau khalifah kompangnya. Pada zaman IT ini sudah agak sukar untuk mendapat pakarnya, malah tidak lagi menjadi pelajaran atau aktiviti budaya Melayu di kampung-kampung ataupun di sekolah-sekolah. Walaubagaimanapun, masih terdapat lagi pakar-pakar pembuat kompang di beberapa negeri seperti di Johor, Melaka, Perak dan di beberapa tempat yang lain, namum tidak ramai pakarnya. 

Antara yang tersenarai yang boleh dihubungi:

Haji Kasim : Melimau, Melaka
Kompang dan Jidor : Segamat, Johor
Itam Abu Bakar : Kuala Kangsar, Perak

Maklumat lanjut mengenai seni irama kompang ini boleh diperolehi di internet, atau sebahagiannya seperti link di bawah :

Kompang : wikipedia
Slide Kompang : surayafuzi

pukulan kompang serikan majlis
sedaya majlis bertambah meriah
irama kompang terus diwaris
dek anak bangsa sedaya megah

[semangat7]



BERZANJI DAN MARHABAN

Kelas Berzanji : Semangat 7
Pada dewasa ini masih terdapat lagi sana sini masyarakat Melayu yang boleh Berzanji dan Marhaban akan tetapi dari golongan tua-tua dan lazimnya di kampung sahaja. Generasi muda merasakan bukan keutamaan bagi mereka, ini akan melenyapkan kepandaian Berzanji dan Marhaban dalam anggaran masa 10 ke 20 tahun akan datang. Walaupun usaha dari pelbagai pihak untuk mempertahankan perkara ini, namun masih dipandang sepi oleh anak-anak Melayu memandangkan ramai di antara mereka yang tidak beberapa arif membaca Al-Quran secara fasih.

Berzanji dan Marhaban merupakan bacaan secara berlagu atau bertaranum mengikut lagu-lagu tertentu. Bacaan pula berpandukan pada kitab karangan Jaafar Berzanji yang ditulis dalam bahasa Arab, memuji dan menceritakan sirah Rasullullah. Pada hari ini lazimnya dibacakan sekadar 5 rawi sahaja, disulam Marhaban dan diakhiri dengan doa seperti tertulis dalam kitab tersebut.

Hj Ahmad B Hj Rashid
Lagu yang boleh dibawa ada pelbagai jenis Taranumnya dan mengikut kata seorang guru Berzanji iaitu Hj Ahmad bin Hj Rashid, bahawa dalam Berzanji, 4 rangkap pertama merupakan 'soal' dan 4 rangkap berikutnya adalah 'jawab' dan boleh dibacakan dengan pelbagai lagu taranum, sebagai contoh sekiranya bacaan 'soal' dengan taranum 'Sikah', maka bacaan 'jawab' adalah dengan taranum 'Maya (Shoba)' pula.

Lazimnya, bacaan Berzanji dan Marhaban ini diadakan pada masa majlis seperti ; Maulidur Rasul, majlis Cukur Rambut kelahiran anak, acara Berkhatan, majlis Khatam al-Quran dan kerap juga diadakan semasa dalam kenduri Pertunangan atau Perkahwinan.



Antara yang boleh dirujuk :
Berzanji : youtube
Berzanji : wikipidea

bersambung...